Tuesday, September 8, 2009

Dari Jelu ke Putra Jaya... Pekan Minggu Raub

Pekan Minggu Raub atau di panggil juga pekan sari (Pekan Sehari) diadakan pada hujung minggu setiap hari Ahad. Ianya terletak di hadapan Rumah Rehat Bandar Raub, cukup selesa kerana tapak pekan sari tersebut bersih, tersusun elok, mudah untuk bergerak ke satu baris ke satu baris yang lain bagi mendapatkan barangan yang hendak dibeli. Saya macam biasalah pada pagi Ahad lalu bersama mem besau pergi ke Pekan Sari Raub untuk mencari makanan kampung kesukaan. Perjalanan sejauh lebih kurang 20 minit dari bandar Bentong . Di Pekan Sari Raub yang bagaikan temasya jualan hasil kampung itu, banyak sekali menjual hasil-hasil kampung yang dibawa oleh penduduk sekitar bandar Raub mahu pun yang jauh tinggal di kampung. Meraka berpagi-pagi lagi tiba lantas membuka ruang dan meletakkan barang yang hendak dijual. Setelah satu pusingan berlalu dan telah dapat satu dua barang yang dibeli, pergerakan kami tidak lagi terhenti di situ. Kami terus menapak mencari sayur-sayur seperti pucuk maman, rebung jeruk, batang keladi (orang lelaki jangan selalu sangat makan masalah kesihatan.. kata orang), sedikit daging /tulang, ikan, (ikan kelah RM60.00 sekilo .. oklah tu) , buah salak dan macam-macam lagi. Kalau diikutkan semua hendak dibeli. Apabila sampai ke satu makcik tu dia sebuk bercerita yang dia ni datang jauh dari Jelu, "susah nak datang kenderaan awam tidak ada, naik kereta sapu aje, gemana mok cik nak bawak barang yang banyak gini. Jarak ke bandar Raub ini lebih empat kilometer". Setelah membayar harga lada kami pun berlalu, tidak lama kemudian dalam memerhati apa lagi yang berkenan di hati, kami terserempak dengan seorang pegawai yang bertugas di Putra Jaya bersama isterinya yang datang jauh, sedang membeli telur ayam kampung kesukaannya dua sarang. Setelah bertanya khabar kami pun beredar. Begitulah sedikit cerita mengenai suasana di Pekan Sari Raub yang sentiasa dikunjungi ramai orang, baik yang dekat mahu pun yang jauh..

4 comments:

  1. smg menjadi dan sampai maklumat ni.

    ReplyDelete
  2. Apa maklumat yang tuan nak sampaikan, ana cari-cari juga dekat page ni, tak de pun. saja provokasi ye!.

    ReplyDelete
  3. Maklumatnya di sini ialah Pertama tentang Pekan Sari Raub itu sendiri unit dan tersendiri. Kedua terdapat banyak jualan hasil pertanian, ternakan kampung yang fresh lagi asli. Ketiga harga barpatutan yang juga murah. Keempat serasi dengan kehendak atau selera orang lama terutama asal usulnya dahulu orang kampung. Kelima itulah salah satu cara atau perniagaan orang yang terdahulu. Keenam ianya cukup serasi dengan cara hidup sesetengah orang Melayu mahu pun Cina atau India selain Pasar Tani. Buktinya ada terjumpa ramai orang luar yang berkunjung seperti dari Putrajaya, Kuantan, Gua Musang dan ramai lagi selain pengunjung Pakistan, Burma, Bangladesh, Indonesia yang datang dari tempat-tempat lain. Ya saya bersetuju dengan cerita itu. Sekurang-kurangnya kita dapat merasakan kembali di masa lalu kita membantu emak dan ayah memunggah barang yang hendak dijual dari dalam perahu naik ke tebing dan dari kereta sapu ke tempat jualan.... cerita Pekan Sari Raub ini ceritanya telah sampai ke serata pelusuk dunia sebenarnya...

    ReplyDelete
  4. Betul lah tu, kalau di Sabah Pekan Sari ini di sebut Tamu, mengikut orang-orang tua di Ranau, Tamu tu maknanya tempat tetamu berkumpul sambil mencari keperluan. Jadi, kalau nak dikatakan pekan sari ini tempat pertemuan peringkat antarabangsa bolehlah diterima pakai. Cuma ana pulak tak berapa berkenan menghadiri persidangan antarabangsa di pekan sari ni kerana kurang selesa berjalan-jalan dalam suasana orang berbondong-bondong, ana rasa lemas. Apatah lagi kalau tempat tu susah nak cari tempat parking.Pendek kata sekali dalam dua bulan baru ana menjengah pekan sari itupun seawal pagi, lepas solat subuh, kalau emak dan isteri ajak, ana bagi syarat mesti bersiap awal, supaya boleh pegi awal dan balik awal.Selamat berbuka puasa dan beriktikaf di masjid untuk 10 malam terakhir romadhon. Ar Ranawi

    ReplyDelete