Thursday, July 15, 2010

Ribut Atap Terbang -- Lawatan KS SPI.JPN Pahang

Tepat jam 10.00 pagi, SK LKTP Sg Panching Utara telah dilawati oleh dua orang pagawai dari Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang. Ustaz Azmi bin Rashid Penolong Pengarah (GPI Menengah) dan Ustaz Mohamad Rofa'i bin Mokhtar Penyelia (Pengurusan SAR/KAFA) mewakili Tuan Ketua Sektor bagi tujuan ziarah untuk mengucap takziah dan simpati di atas kejadian ribut petir kuat yang berlaku pada Jumaat lalu di antara jam 4.00 hingga 5.30 petang. Ketika kejadian tersebut angin kencang telah menerbangkan empat keping atap, enam keping perabung bumbung di tingkat dua bangunan lama. Manakala empat keping atap pra sekolah juga telah musnah ditimpa oleh sebuah khemah sukan yang juga diterbangkan angin kencang ke atas atap tersebut dari arah padang sekolah sebelah belakang bangunan yang sama. Pihak JPN telah dimaklumkan dan PPD Kuantan En Rosdi bin Md Don Penolong PPD Pembangunan Bekalan dan ICT bersama En Muhamad bin Sulaiman Penyelia Kanan Pembangunan dan Perolehan telah hadir pada hari Isnin lalu tujuan untuk membuat semakan pembaikan. YB Cikgu Zaili ADUN Panching juga turut hadir pada jumaat lalu. Wakil KS SPI juga sempat melawat sekolah SAR KAFA LKTP Sg Panching Utara bagi meninjau dan melihat sendiri apa masalah yang dihadapi sekolah tersebut. Turut hadir guru besar Puan Nazirah binti Harun dan Pengerusi JKK SK LKTP Panching Utara Tn Hj Jamaludin bin Harun. Warga sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tuan KS SPI yang sentiasa mengambil berat setiap perkembangan sekolah terutama berlaku kejadian seumpama itu, terima kasih syukran.

Thursday, May 27, 2010

Jamuan Hari Guru KSPI JPNP... SPI

Terima kasih Kelab Staf Sektor Pendidikan Islam SPI. JPN Pahang, yang telah sudi menjemput saya hadir makan tengahari di sebuah restauran bersebelahan kawasan Shahputra Kuantan tengahari tadi. Kepada Abang Nawi, Us Tan, Pn Jamilah, Us Pai yang telah menelepon dan sms diucapkan terima kasih bebanyak terutama kepada pengerusi kelab tersebut Us Daniel dan Ahli Jawatankuasa sebagai penganjur. Kepada Tuan Ketua Sektor selaku tonggak SPI yang disanjung tinggi, dihormati, dengan dedikasi yang unggul tidak pernah lupa dan sudi menjemput kami termasuk dua orang penyelia Pendidikan Islam PPD Kuantan ke majlis jamuan seumpama itu. Dalam ucapan Tuan KS selain menyampaikan ucapan terima kasih YH Dato' Pengarah Palajaran Pahang atas kejayaan penganjuran Hari Guru Kebangsaan di Negeri Pahang tahun ini. Tuan KS yang sentiasa bersemangat mengingatkan jua kita semua dengan komitmen kerja dan tanggungjawab yang semakin mencabar untuk dihadapi, bukan sahaja ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan tetapi juga dengan kualiti SKPM yang tinggi boleh dibawa didalam mengurus dan memimpin organisasi dan guru-guru di sekolah. Bagi mencapai semua kecemerlangan itu, perlu ada pengorbanan, mesti merancang, dengan visi misi jelas, melaksana serta selalu memantau dan menilai kerja buat kita. Begitulah hasrat Tuan KS kita..... saya terharu dengan ucapan itu. Tapi.. apakah kita telah bersedia kearah itu?, besatukah kita?, berintegritikah kita?, berkualitikah kita?, berkopitensikah kita untuk semua itu?.. tepuk dada tanya selera. Bagi saya SPI beridentiti ada tanggungjawab tersendiri dalam memacu kerukunan peradaban insan kamil bagi Negeri Pahang barpandukan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis... untuk Us Pai.... mm makan sedap tadi tu jemput lagi terima kasih.

Sunday, May 2, 2010

SAR KAFA Sg Panching Utara - Sembelih Kambing

Semalam saya telah menghadiri jemputan ke majlis Perjumpaan Pelajar-pelajar (UPKK) bersama Ibubapa dengan Pentadbiran Sekolah SAR KAFA Madrasah Attarbiah Felda Sg Panching Utara. Pada majlis tersebut turut hadir memberikan ucapan ialah Pengerusi SAR Kafa Madrasah Attarbiah sendiri Ust Sharudin bin Kasim, Ucapan Guru Besarnnya Pn Hjh Nazirah bt Haron, manakala Pengerusi Persatuan Guru-guru SAR KAFA Daerah Kuantan Ust Abd Ghani bin Idin telah menjelaskan dalam kertas kerjanya tentang tujuan, matlamat, arah tuju, visi dan misi yang hendak dicapai oleh Persatuan Guru-guru SAR KAFA Daerah Kuantan. Menurut Penyelia Agama Pejabat Agama Islam, Daerah Kuantan Ust Asrul Afendi bin Hamid dalam taklimatnya diantaranya juga mahu pihak sekolah yang akan menyelaraskan sendiri UPKK diperingkat sekolah bagi memudahkan pelaksanaannya agar tidak bertembung jadual dengan pihak sekolah kebangsaan, soalan di sediakan oleh PAID. Ibu bapa juga perlu tahu apakah tujuan dan matlamat UPKK diujudkan JAIP. Ust Jamaludin bin Haron selaku Tokempat / Pengerusi JKKK disini merasa gembira dan berpuas hati kerana majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan baik atas kerja sama penduduk, selepas lima pokok nagka madu ditanam oleh tokoh yang hadir seperti Pengerusi SAR KAFA Daerah Kuantan, GB SK, GB SAR KAFA, Pengerusi SAR KAFA, dan Tokempat sendiri. Selepas upacara tersebut kami pun menjamu selera dengan juadah yang istimewa gulai kambing, goreng ayam kampung, kerabu daun kaduk, asam pedas batang keladi, ikan kering dan sambal belacan. Tahun lepas dan tahun sebelumnya sekolah ini telah menyembelih lembu yang disumbang oleh penduduk di sini.

Saturday, March 6, 2010

SKSPU. Pengurusan... Harapan dan Pesanan

Gembira bersama anak buahku.
Bermula 3 mac aku sudah mula bekerja di tempat baru iaitu di SK Felda Sg Panching Utara Kuantan. Walaupun melapor diri pada 18 Februari namun di sebabkan ada beberapa kerja lagi yang belum selesai di tempat lama dan terakhir iaitu berada di Temerloh, Program Multaqa guru-guru Pendidikan Islam Negeri Pahang. Program tersebut adalah di antara perancangan Unit Operasi Dakwah bersama aku untuk tahun 2010 di Sektor Pendidikan Islam JPN. Ya... kedua-dua tempat bekerja ini masing-masing ada kelebihannya dan sangat mencabar. Kalau dahulu di JPN kita banyak mengurus di peringkat daerah dan negeri diselangi memantau ke sekolah. Seronok berada diperingkat pengurusan tertinggi. Itu dulu!, tetapi sekarang sudah berada di sekolah, sekolah agak berlainan sedikit berbanding di JPN kerana kini kita sendiri yang menerajuinya. Di sekolah apa manisnya?... Bagi aku yang ada sedikit pengalaman ini sangat optimis bila sederap dengan GPK, Guru muda, Pekerja yang berdedikasi dan sangat bertanggungjawab. Aku sangat yakin semuanya akan dapat bekerjasama untuk meningkat kejayaan SKSPU. Maka dengan itu lima fokus perlu dicapai SKSPU menjelang 2013 akan datang. Yaitu Pertama; Back to Basic - Teachers Teach and Work Smart". Kedua; Motto "Berkualiti dan Tepat". Ketiga; " Sekolah contoh... Menjelang 2013 (Tiga Tahun)". Keempat; "Team Work" . Kelima; "Be Happy". Untuk menjayakan semua harapan dan cita-cita itu, masyarakat ibubapa Felda Panching Utara keseluruhannya mestilah bekerjasama berazam dan berusaha lebih kuat lagi bersama-sama sekolah, mudah-mudahan diberkati direstui oleh Allah swt Insyaallah.

Saturday, February 27, 2010

MAULIDIR RASUL - Nabi Muhammad SAW

Teladani Empat Ciri Kepimpinan Rasulullah
Umat Islam perlu mencontohi dan mengambil teladan empat sifat terpuji Nabi Muhammad saw iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (manyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan hidup. Empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif. Maka sudah tentu pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan. Agenda Rasulullah yang memperkukuhkan institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman. Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil jahiliah, bersengketa dan berpecah belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati. Sempena memperingati Maulidir Rasul, bersamalah kita merintis perpaduan melalui pelbagai kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh. Dalam sirah perjuangan Rasulullah tiada kejayaan yang mudah diperoleh baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan , perundingan dan pelaksanaan yang penuh strategi lagi konsisten. Semoga kita disetiap peringkat tempat kerja walau dimana amalan terpuji Rasulullah tunjukan itu hendaknya akan menjadi amal tauladan yang baik terutama kalau kita itu berkedudukan ditempat secara langsung mengurus organisasi pentadbiran.

Saturday, February 13, 2010

Sembang Pendidikan Part 5 ... PEMIMPIN.

Kepimpinan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia. Sekiranya kita mampu memimpin diri kita ke arah sahsiah yang cemerlang, itu merupakan satu kejayaan buat kita. Kita juga mesti memimpin orang lain supaya hidup kita bersama orang lain berada dalam keadaan yang diredhoi oleh Allah. Islam amat menitik beratkan masalah kepimpinan. Al Quran menjelaskan berkenaan nabi-nabi dan rasul yang diutuskan Allah bagi memimpin umat manusia. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir diutuskan untuk memimpin seluruh umat manusia. Warisan itu diteruskan oleh umat Islam dari satu generasi ke generasi yang lain dengan pelbagai gelaran seperti Amirul Mukminin, Khalifah, Imam dan sebagainya yang melambangkan pemimpin masyarakat dan umah. Hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud;"Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap yang dipimpin" Hadis ini menunjukkan bahawa setiap orang adalah pemimpin. Apabila kita menjadi pemimpin maka hendaklah kita bertanggunjawab terhadap orang yang dipimpin, manusia perlukan pimpinan dan didikan yang dapat memandu manusia ke jalan yang benar. Selepas kewafatan nabi dan rasul, manusia masih memerlukan pemimpin, didikan dan bimbingan. Disinilah terletaknya tanggungjawab umat Islam sebagai generasi pewaris dan penyambung perjuangan nabi Muhammad saw. Berdasarkan ayat Al Quran dan hadis nabi di atas, ternyatalah bahawa orang yang paling bertanggungjawab menjalankan tugas " Amar makruf dan nahi munkar " di sekolah pada hari ini ialah Guru Pendidikan Islam (GPI) khususnya dan guru-guru lain.

Wednesday, February 10, 2010

16 FEBRUARI 2010... GB Menungguku.

Tepat jam 12.00 tengahari di Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, Ana telah menerima sepucuk surat pertukaran setara ana PPPLD DGA34 yang ditandatangani oleh YH Dato' Pengarah pada 1 Februari lalu. Ana yang meminta Us Yahya Tahir kawan sepejabat tolong bawakan kerana ana sudah tiga hari tidak masuk pejabat kerana bertugas diluar; Isnin di PPD Maran di SMK Jengka Pusat 2, semalam di PPD Pekan di SMK Seri Pekan dan hari ini pula di PPD Jerantut di SMK Padang Saujana...kerana Program Multaqa GPI Pahang 2010 Sektor Pendidikan Islam JPN Pahang. Ana telah diberitahu oleh surat tersebut bahawa ana akan bertukar ke SK Sungai Panching Utara sebagai Guru Besar. Jarak yang tidak jauh 15 minit dari Kem Askar Batu 9 Kuantan. Syukur kerana keputusan muktamad ana itu telah menjadi kenyataan yang soheh. Ana ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tuan Ketua Sektor ana yang juga bos kesayangan ana yang dihormati, yang memahami dan memperakukan permohonan ana itu sehingga ana menerima surat tersebut secepatnya. Semoga jawatan Penyelia Kawalan Akidah dan Pemikiran Islam yang ana sandang sejak pertengahan September 2009 itu, akan diisi oleh orang yang lebih berkalibar lagi mahunya. Selamat tinggal SPI... kerana kaulah juga salah satunya track rekod di antara tempat yang paling tinggi setakat ini yang pernah ana berkhidmat sejak 1988; Penyelia Petang Jengka 18, 1989 GPK Hem SK Maran, GPK Pentadbiran SK Maran, 1995 GB Paya Pasir, 1997 GB Menpaga 1, 1998 GB Jengka 24, 2003 PKpI PPD Bentong, 2009 Penyelia SPI JPN Pahang. Seronok berkhidmat di JPN!... maniskah berkhidmat di sekolah?... tepuk dada tanyalah selera, yang penting keredhoan segalanya dengan semangat ingin berkerja dan berkhidmat dengan cemerlang.