Saturday, February 13, 2010

Sembang Pendidikan Part 5 ... PEMIMPIN.

Kepimpinan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia. Sekiranya kita mampu memimpin diri kita ke arah sahsiah yang cemerlang, itu merupakan satu kejayaan buat kita. Kita juga mesti memimpin orang lain supaya hidup kita bersama orang lain berada dalam keadaan yang diredhoi oleh Allah. Islam amat menitik beratkan masalah kepimpinan. Al Quran menjelaskan berkenaan nabi-nabi dan rasul yang diutuskan Allah bagi memimpin umat manusia. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir diutuskan untuk memimpin seluruh umat manusia. Warisan itu diteruskan oleh umat Islam dari satu generasi ke generasi yang lain dengan pelbagai gelaran seperti Amirul Mukminin, Khalifah, Imam dan sebagainya yang melambangkan pemimpin masyarakat dan umah. Hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud;"Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap yang dipimpin" Hadis ini menunjukkan bahawa setiap orang adalah pemimpin. Apabila kita menjadi pemimpin maka hendaklah kita bertanggunjawab terhadap orang yang dipimpin, manusia perlukan pimpinan dan didikan yang dapat memandu manusia ke jalan yang benar. Selepas kewafatan nabi dan rasul, manusia masih memerlukan pemimpin, didikan dan bimbingan. Disinilah terletaknya tanggungjawab umat Islam sebagai generasi pewaris dan penyambung perjuangan nabi Muhammad saw. Berdasarkan ayat Al Quran dan hadis nabi di atas, ternyatalah bahawa orang yang paling bertanggungjawab menjalankan tugas " Amar makruf dan nahi munkar " di sekolah pada hari ini ialah Guru Pendidikan Islam (GPI) khususnya dan guru-guru lain.

No comments:

Post a Comment