Thursday, July 15, 2010

Ribut Atap Terbang -- Lawatan KS SPI.JPN Pahang

Tepat jam 10.00 pagi, SK LKTP Sg Panching Utara telah dilawati oleh dua orang pagawai dari Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang. Ustaz Azmi bin Rashid Penolong Pengarah (GPI Menengah) dan Ustaz Mohamad Rofa'i bin Mokhtar Penyelia (Pengurusan SAR/KAFA) mewakili Tuan Ketua Sektor bagi tujuan ziarah untuk mengucap takziah dan simpati di atas kejadian ribut petir kuat yang berlaku pada Jumaat lalu di antara jam 4.00 hingga 5.30 petang. Ketika kejadian tersebut angin kencang telah menerbangkan empat keping atap, enam keping perabung bumbung di tingkat dua bangunan lama. Manakala empat keping atap pra sekolah juga telah musnah ditimpa oleh sebuah khemah sukan yang juga diterbangkan angin kencang ke atas atap tersebut dari arah padang sekolah sebelah belakang bangunan yang sama. Pihak JPN telah dimaklumkan dan PPD Kuantan En Rosdi bin Md Don Penolong PPD Pembangunan Bekalan dan ICT bersama En Muhamad bin Sulaiman Penyelia Kanan Pembangunan dan Perolehan telah hadir pada hari Isnin lalu tujuan untuk membuat semakan pembaikan. YB Cikgu Zaili ADUN Panching juga turut hadir pada jumaat lalu. Wakil KS SPI juga sempat melawat sekolah SAR KAFA LKTP Sg Panching Utara bagi meninjau dan melihat sendiri apa masalah yang dihadapi sekolah tersebut. Turut hadir guru besar Puan Nazirah binti Harun dan Pengerusi JKK SK LKTP Panching Utara Tn Hj Jamaludin bin Harun. Warga sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tuan KS SPI yang sentiasa mengambil berat setiap perkembangan sekolah terutama berlaku kejadian seumpama itu, terima kasih syukran.

Thursday, May 27, 2010

Jamuan Hari Guru KSPI JPNP... SPI

Terima kasih Kelab Staf Sektor Pendidikan Islam SPI. JPN Pahang, yang telah sudi menjemput saya hadir makan tengahari di sebuah restauran bersebelahan kawasan Shahputra Kuantan tengahari tadi. Kepada Abang Nawi, Us Tan, Pn Jamilah, Us Pai yang telah menelepon dan sms diucapkan terima kasih bebanyak terutama kepada pengerusi kelab tersebut Us Daniel dan Ahli Jawatankuasa sebagai penganjur. Kepada Tuan Ketua Sektor selaku tonggak SPI yang disanjung tinggi, dihormati, dengan dedikasi yang unggul tidak pernah lupa dan sudi menjemput kami termasuk dua orang penyelia Pendidikan Islam PPD Kuantan ke majlis jamuan seumpama itu. Dalam ucapan Tuan KS selain menyampaikan ucapan terima kasih YH Dato' Pengarah Palajaran Pahang atas kejayaan penganjuran Hari Guru Kebangsaan di Negeri Pahang tahun ini. Tuan KS yang sentiasa bersemangat mengingatkan jua kita semua dengan komitmen kerja dan tanggungjawab yang semakin mencabar untuk dihadapi, bukan sahaja ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan tetapi juga dengan kualiti SKPM yang tinggi boleh dibawa didalam mengurus dan memimpin organisasi dan guru-guru di sekolah. Bagi mencapai semua kecemerlangan itu, perlu ada pengorbanan, mesti merancang, dengan visi misi jelas, melaksana serta selalu memantau dan menilai kerja buat kita. Begitulah hasrat Tuan KS kita..... saya terharu dengan ucapan itu. Tapi.. apakah kita telah bersedia kearah itu?, besatukah kita?, berintegritikah kita?, berkualitikah kita?, berkopitensikah kita untuk semua itu?.. tepuk dada tanya selera. Bagi saya SPI beridentiti ada tanggungjawab tersendiri dalam memacu kerukunan peradaban insan kamil bagi Negeri Pahang barpandukan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis... untuk Us Pai.... mm makan sedap tadi tu jemput lagi terima kasih.

Sunday, May 2, 2010

SAR KAFA Sg Panching Utara - Sembelih Kambing

Semalam saya telah menghadiri jemputan ke majlis Perjumpaan Pelajar-pelajar (UPKK) bersama Ibubapa dengan Pentadbiran Sekolah SAR KAFA Madrasah Attarbiah Felda Sg Panching Utara. Pada majlis tersebut turut hadir memberikan ucapan ialah Pengerusi SAR Kafa Madrasah Attarbiah sendiri Ust Sharudin bin Kasim, Ucapan Guru Besarnnya Pn Hjh Nazirah bt Haron, manakala Pengerusi Persatuan Guru-guru SAR KAFA Daerah Kuantan Ust Abd Ghani bin Idin telah menjelaskan dalam kertas kerjanya tentang tujuan, matlamat, arah tuju, visi dan misi yang hendak dicapai oleh Persatuan Guru-guru SAR KAFA Daerah Kuantan. Menurut Penyelia Agama Pejabat Agama Islam, Daerah Kuantan Ust Asrul Afendi bin Hamid dalam taklimatnya diantaranya juga mahu pihak sekolah yang akan menyelaraskan sendiri UPKK diperingkat sekolah bagi memudahkan pelaksanaannya agar tidak bertembung jadual dengan pihak sekolah kebangsaan, soalan di sediakan oleh PAID. Ibu bapa juga perlu tahu apakah tujuan dan matlamat UPKK diujudkan JAIP. Ust Jamaludin bin Haron selaku Tokempat / Pengerusi JKKK disini merasa gembira dan berpuas hati kerana majlis tersebut dapat dilaksanakan dengan baik atas kerja sama penduduk, selepas lima pokok nagka madu ditanam oleh tokoh yang hadir seperti Pengerusi SAR KAFA Daerah Kuantan, GB SK, GB SAR KAFA, Pengerusi SAR KAFA, dan Tokempat sendiri. Selepas upacara tersebut kami pun menjamu selera dengan juadah yang istimewa gulai kambing, goreng ayam kampung, kerabu daun kaduk, asam pedas batang keladi, ikan kering dan sambal belacan. Tahun lepas dan tahun sebelumnya sekolah ini telah menyembelih lembu yang disumbang oleh penduduk di sini.

Saturday, March 6, 2010

SKSPU. Pengurusan... Harapan dan Pesanan

Gembira bersama anak buahku.
Bermula 3 mac aku sudah mula bekerja di tempat baru iaitu di SK Felda Sg Panching Utara Kuantan. Walaupun melapor diri pada 18 Februari namun di sebabkan ada beberapa kerja lagi yang belum selesai di tempat lama dan terakhir iaitu berada di Temerloh, Program Multaqa guru-guru Pendidikan Islam Negeri Pahang. Program tersebut adalah di antara perancangan Unit Operasi Dakwah bersama aku untuk tahun 2010 di Sektor Pendidikan Islam JPN. Ya... kedua-dua tempat bekerja ini masing-masing ada kelebihannya dan sangat mencabar. Kalau dahulu di JPN kita banyak mengurus di peringkat daerah dan negeri diselangi memantau ke sekolah. Seronok berada diperingkat pengurusan tertinggi. Itu dulu!, tetapi sekarang sudah berada di sekolah, sekolah agak berlainan sedikit berbanding di JPN kerana kini kita sendiri yang menerajuinya. Di sekolah apa manisnya?... Bagi aku yang ada sedikit pengalaman ini sangat optimis bila sederap dengan GPK, Guru muda, Pekerja yang berdedikasi dan sangat bertanggungjawab. Aku sangat yakin semuanya akan dapat bekerjasama untuk meningkat kejayaan SKSPU. Maka dengan itu lima fokus perlu dicapai SKSPU menjelang 2013 akan datang. Yaitu Pertama; Back to Basic - Teachers Teach and Work Smart". Kedua; Motto "Berkualiti dan Tepat". Ketiga; " Sekolah contoh... Menjelang 2013 (Tiga Tahun)". Keempat; "Team Work" . Kelima; "Be Happy". Untuk menjayakan semua harapan dan cita-cita itu, masyarakat ibubapa Felda Panching Utara keseluruhannya mestilah bekerjasama berazam dan berusaha lebih kuat lagi bersama-sama sekolah, mudah-mudahan diberkati direstui oleh Allah swt Insyaallah.

Saturday, February 27, 2010

MAULIDIR RASUL - Nabi Muhammad SAW

Teladani Empat Ciri Kepimpinan Rasulullah
Umat Islam perlu mencontohi dan mengambil teladan empat sifat terpuji Nabi Muhammad saw iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (manyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan hidup. Empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif. Maka sudah tentu pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan. Agenda Rasulullah yang memperkukuhkan institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman. Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil jahiliah, bersengketa dan berpecah belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati. Sempena memperingati Maulidir Rasul, bersamalah kita merintis perpaduan melalui pelbagai kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh. Dalam sirah perjuangan Rasulullah tiada kejayaan yang mudah diperoleh baginda dan sahabat melainkan melalui perancangan , perundingan dan pelaksanaan yang penuh strategi lagi konsisten. Semoga kita disetiap peringkat tempat kerja walau dimana amalan terpuji Rasulullah tunjukan itu hendaknya akan menjadi amal tauladan yang baik terutama kalau kita itu berkedudukan ditempat secara langsung mengurus organisasi pentadbiran.

Saturday, February 13, 2010

Sembang Pendidikan Part 5 ... PEMIMPIN.

Kepimpinan merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia. Sekiranya kita mampu memimpin diri kita ke arah sahsiah yang cemerlang, itu merupakan satu kejayaan buat kita. Kita juga mesti memimpin orang lain supaya hidup kita bersama orang lain berada dalam keadaan yang diredhoi oleh Allah. Islam amat menitik beratkan masalah kepimpinan. Al Quran menjelaskan berkenaan nabi-nabi dan rasul yang diutuskan Allah bagi memimpin umat manusia. Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir diutuskan untuk memimpin seluruh umat manusia. Warisan itu diteruskan oleh umat Islam dari satu generasi ke generasi yang lain dengan pelbagai gelaran seperti Amirul Mukminin, Khalifah, Imam dan sebagainya yang melambangkan pemimpin masyarakat dan umah. Hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud;"Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap yang dipimpin" Hadis ini menunjukkan bahawa setiap orang adalah pemimpin. Apabila kita menjadi pemimpin maka hendaklah kita bertanggunjawab terhadap orang yang dipimpin, manusia perlukan pimpinan dan didikan yang dapat memandu manusia ke jalan yang benar. Selepas kewafatan nabi dan rasul, manusia masih memerlukan pemimpin, didikan dan bimbingan. Disinilah terletaknya tanggungjawab umat Islam sebagai generasi pewaris dan penyambung perjuangan nabi Muhammad saw. Berdasarkan ayat Al Quran dan hadis nabi di atas, ternyatalah bahawa orang yang paling bertanggungjawab menjalankan tugas " Amar makruf dan nahi munkar " di sekolah pada hari ini ialah Guru Pendidikan Islam (GPI) khususnya dan guru-guru lain.

Wednesday, February 10, 2010

16 FEBRUARI 2010... GB Menungguku.

Tepat jam 12.00 tengahari di Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut, Ana telah menerima sepucuk surat pertukaran setara ana PPPLD DGA34 yang ditandatangani oleh YH Dato' Pengarah pada 1 Februari lalu. Ana yang meminta Us Yahya Tahir kawan sepejabat tolong bawakan kerana ana sudah tiga hari tidak masuk pejabat kerana bertugas diluar; Isnin di PPD Maran di SMK Jengka Pusat 2, semalam di PPD Pekan di SMK Seri Pekan dan hari ini pula di PPD Jerantut di SMK Padang Saujana...kerana Program Multaqa GPI Pahang 2010 Sektor Pendidikan Islam JPN Pahang. Ana telah diberitahu oleh surat tersebut bahawa ana akan bertukar ke SK Sungai Panching Utara sebagai Guru Besar. Jarak yang tidak jauh 15 minit dari Kem Askar Batu 9 Kuantan. Syukur kerana keputusan muktamad ana itu telah menjadi kenyataan yang soheh. Ana ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tuan Ketua Sektor ana yang juga bos kesayangan ana yang dihormati, yang memahami dan memperakukan permohonan ana itu sehingga ana menerima surat tersebut secepatnya. Semoga jawatan Penyelia Kawalan Akidah dan Pemikiran Islam yang ana sandang sejak pertengahan September 2009 itu, akan diisi oleh orang yang lebih berkalibar lagi mahunya. Selamat tinggal SPI... kerana kaulah juga salah satunya track rekod di antara tempat yang paling tinggi setakat ini yang pernah ana berkhidmat sejak 1988; Penyelia Petang Jengka 18, 1989 GPK Hem SK Maran, GPK Pentadbiran SK Maran, 1995 GB Paya Pasir, 1997 GB Menpaga 1, 1998 GB Jengka 24, 2003 PKpI PPD Bentong, 2009 Penyelia SPI JPN Pahang. Seronok berkhidmat di JPN!... maniskah berkhidmat di sekolah?... tepuk dada tanyalah selera, yang penting keredhoan segalanya dengan semangat ingin berkerja dan berkhidmat dengan cemerlang.

Thursday, February 4, 2010

Tinggal 4 Bujangan di Perumahan Bukit Setongkol Kuantan

Wau!... hebat juga cerita pasal hidup membujang lima hari seminggu tanpa anak dan isteri. Pejam celik pejam celik sedar sedar lebih setahun kami berempat tinggal di rumah sewa di lorong Bukit Setongkol Kuantan ini. Rumah kami tidak jauh dari pejabat di bandar indera mahkota sana tu. Perjalanan sebatang rokok atau 3, 4 kali konar dah sampai. Bila petang kalau yang tak kerja luar atau balik kampung maka adalah nampak batang hidung, jarang dapat berador keempat-empat bujangan ini, seingat-ingat dua kali sahaja yang lain tu kadang-kadang banyak tinggal sorang jela. Malam lepas solat isyak tengok sikit-sikit surat khabar dalam keadaan x-pac terus terlena pagi baru sedar. Lepas mandi siap siap terus pergi kerja. Mula tahun baru abang Hj Ishak Othman berpindah ke Sungai Soi, lepas tu sebulan berpindah pula KU Hj Hasdan (bos) Paya Luas menyewa rumah bukit Rangin, tinggallah Pok Azmi Rashid Cini yang jarang-jarang sekali macam biskut sekali ada sekali tak ada bermalam. Bulan hadapan saya pula yang akan tinggalkan Pok Azmi Cini ini.. tinggallah keseorangan... rumah sewa ni kami panggil juga asrama bujang PATI kata dek abang tua kami Us Ahmad Naawi Samah Pulau Tawar tu, dalam tazkirahnya bulan posa lalu PATI - Pendatang Asing Tanpa Isteri. Itulah kenangan yang bakal diabadikan dalam memori SPI kami empat saudara baru 2009-2010 dua bulan, semoga persahabatan kita berkekalan seusia kehidupan kita.

Sunday, January 31, 2010

SABTU: Hari Terakhir Januari 2010 ....

Cukup sebulan, sebulan-bulan... bulan Januari 2010 dan selama itu jugalah 31 hari telah berlalu. Bermula 1 Januari 2010 bermulanya tahun baru itu, maka bersempena itulah azam dan iltizam tahun baru yang dipasang dalam diri dengan seribu harapan pada hari pertama, minggu pertama dan habis bulan pertama...apa sudah jadi?... puas juga aku muhasabah diri menghitung apakah azam yang dipasang dulu itu berjalan sebagaimana yang dirancang atau masih terkial-kial atau masih teragak-agak untuk melaksanakannya. Jika ianya dapat dilakukan sebaiknya maka itulah untung dan baiknya, tapi jika ia sebaliknya maka jadilah sebagai banyak cakap kerja takdak. Namun begitu perancangan, pelaksanaan dan tindakan harus dilihat dengan secara positif dan perlu diperbetulkan semula apakah yang tak kena dengan segera agar ianya tidak merugi yang berterusan. Teringat pada ayat dalam surah al Asri.. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan orang yang beramal soleh...Esok sudah tentu hari baru 1 Februari tiba dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi kita percaya pada perancangan yang hendak dibuat itu boleh dilaksanakan dengan baiknya. Falsafah seorang peminpin yang berjaya kita perlu ada sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan ketahanan yang tinggi dalam diri mahu pula dimantapkan lagi dengan pengetahuan yang meluas. Maka kebiasaannya ianya berjaya dan mampu meningkatkan daya kerja cemerlang dan memberansangkan di tempat kerja sendiri. Perlu juga kita mengajak jiwa raga agar niat itu sentiasa betul dan terbimbing pada setiap pekerjaan dengan memulakan pada awal pekerjaan kita itu dengan sedikit atau selampir dua muka surat al Quran itu untuk dibaca mudah-mudahan keberkatan kita perolehi dari Allah swt. Sebulan cukup aku tiada kesempatan yang baik untuk menulis di page blog lanlebak ini, sudah tentu sedikit mis comunication dengan rodong-rodong ... bye

Friday, January 1, 2010

JUMAAT: Hari Pertama Tahun Baru 2010 ...

Selamat tinggal tahun 2009, sesungguhnya perginya kamu adalah ketentuan, perginya kamu adalah pasti, perginya kamu adalah tepat tidak berkurang dan tidak pula berlebih walaupun sehari atau sesaat pun, iatulah kehendak dan takdir Illahi terhadap penciptaannya yang maha kuasa lagi maha kudrah... KUN PAYAKUN. Bila datang tahun baru tahun 2010, maka hilanglah kamu dengan seribu satu macam yang telah berlaku dalam tahunmu 2009 itu. Engkau yang telah diamanahkan Allah, engkaulah yang memegang segala rekod dan catatan pergerakan alam semesta yang akan di bentangkan segalanya dihadapan Allah nantinya apa yang berlaku sepanjang tahun 2009. Demikian rupanya seperti rekod perkhidmatan seseorang penjawat awam yang telah dipungut simpan dan seterusnya ditutup buat tahun 2009. Pada hari pertama fail baru untuk 2010 dibuka untuk pergerakan dan rekod baru. Terkenang diriku dengan kewajiban dan tenggungjawabku terhadap Allah swt yang telah menghidupkan aku di dunia ini. Menitis air mata..." aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah" Aku berserah kemapaMu ya Allah sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, (juga tugas-tugas dan tanggung jawabku), aku serahkan kepadaMu ya Allah yang mentadbir sekalian alam, ampunilah segala dosa-dosaku terutama terhadap isteriku anak-anaku yang mungkin aku terabai, kepada kedua ibubapaku kaum keluarga, guru-guruku, guru-guruku yang menjadi ketua-ketuaku dahulu, rakan sahabat semua tak lupa halal makan minum. Untuk tahun baru apakah azamku dapat dilaksanakan dengan baik dan diredhoi Allah swt...Insyaallah.

Thursday, December 24, 2009

SRK Pulau Gaya KK Sabah ....Pendakian Syukur.

Pengalaman berharga - Kesyukuran yang tinggi kepada Allah swt.

Setelah tamat pengajian di Maktab Perguruan Islam, Jalan Universiti Petaling Jaya, Selangor sesi 1979 - 1980. Pengetua masa itu dan sekarang dipanggil Pengarah iaitu YAB Dato' Seri Dr Abdul Hamid Othman (Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) aku telah dihantar ke SMK LKTP Bukit Mendi Triang Pahang untuk praktikal tiga bulan, tuan pengetuanya pada masa itu ialah En Osman Tua.. dan sahabat guru yang masih diingati En Aminuddin Yusof sekarang Ketua Jabatan Teknologi di Institut Pendidikan Guru Tengku Mizan Besut. Pada tahun 1981 aku di tempatkan dan mula bertugas di SRK Pulau Gaya Sabah berhadapan bandar Kota Kinabalu, jarak 10 minit perjalanan bot, guru besarnya Tn Hj Idris Dakum (terima kasih cikgu..). Tahun 1983 aku telah berpindah ke SMJK'C All Saint School Likas Kota Kinabalu, pengetuanya Mr Teo Then Wah (yang banyak mengajar tentang ketegasan dalam bertugas dan sangat menjaga kebajikan guru, terima kasih..) guru yang kuat membantu dalam aktiviti keagamaan ialah Datin Seri Fatimah Ali isteri seorang menteri Sabah sekarang. Pada tahun 1987 aku balik ke semenanjung dan bertugas di SMK LKTP Jengka 21 Maran, pengetuanya En Osman Said (Al fatihah... sokongan naik pangkat) kawan seperjuangan waktu itu Pn Normah sekarang pengetua SMK Mengkarak Triang. Tahun 1988 naik pangkat bertukar ke SK LKTP Jengka 18, Maran sebagai penyelia petang TB'A, guru besar Rahman Jaafar dan Shamsudin Awang (banyak mengajar mengenai pentadbiran sekolah...). Pada tahun 1989 bertukar pula ke SK Maran sebagai GPK HEM, GPK Pentadbiran, guru besar waktu itu Tn Hj Shaari Othman (Pak saudara- tegas lembut.. al fatihah) dan guru besar yang lainnya seperti Tn Hj Ismail Baei, Tn HJ Musa Hassan, Tn Abdul Razak Mat Tam dan Tn Hj Abu Bakar Ahmad (terima kasih kepada semua guru besar itu ... memacu kejayaanku...) rakan baik cikgu Alias Samah sekarang GPK cemerlang di SK Luit. Hujung tahun 1995 aku mula bertugas sebagai guru besar di SK Paya Pasir Maran (terima kasih kepada Tn Hj Yusof Osman - PPD Maran dan mantan KS SPPK JPN Pahang kerana bagi peluang jadi guru besar) teringat nasi lemak kedai Mak Cu sedap hadapan simpang sekolah. Tahun 1997 bertukar sebagai guru besar SK Mempaga 1 Bentong, anak buah sekarang dah jadi kawan baik ialah Cikgu Kadir Ali taukeh rantaian restauran NAJTH. Tahun 1998 sebagai guru besar di SK Jengka 24 Jerantut, kawan baik En Remi Pengerusi JKKR... al Fatihah... yang sama-sama peneraju bersama PIBG sekolah membuat projek tanaman sawit sejumlah 209 pokok baka PPTR yang sekarang mengeluarkan hasil untuk sekolah... terima kasih juga kepada bekas pengurus En Yahya Janal, Hj Yunus dan Ahli Parlimen Jerantut dan ADUN Pulau Tawar yang sentiasa memberi sokongan padu. Tahun 2003 bertugas pula di Pejabat Pelajaran Daerah Bentong, terima kasih kepada Tn Hj Azimuddin Md Isa tempat rujuk dan Tn Hj Amirullah Bidin kedua-dua pegawai yang dedikasi. Pada akhir 2008 telah bertukar ke tempat sekarang. Itulah perjalanan dan pengalaman yang barangkali dapat diterjemahkan dengan attitude, skills, mahu pun knowledge. Hanya Allah swt yang mengatur dan mentaqdirkan semuanya,... tadbir tidak boleh mengatasi taqdir.

Friday, December 18, 2009

Selamat Menyambut Maal hijrah

KEPADA SEMUA WARGA SPI, JPNP, TEMAN-TEMAN DAN SAHABAT HANDAI.. PPD BENTONG, GPI-GPI SELURUH NEGERI PAHANG DAN SESIAPA YANG MENGENALI SAYA...

Wednesday, December 16, 2009

2009 pergi..2010 datang...

Sedar tak sedar dari saat berganti minit, jam berganti hari, hari berganti minggu,minggu berganti bulan dan bulan bertukar tahun. Begitulah lumrah alam dan ketentuan Allah. Terasa begitu cepat sekali masa berlalu. Sedar atau tidak sudah beberapa hari lagi genaplah setahun saya bertugas di SPI JPNP. Dalam kesibukan tugas harian kita tidak sedar masa berlalu. 2009 perlahan-lahan meninggalkan kita. Ada pepatah arab yang bermaksud: "masa itu umpama pedang. Sekiranya kamu tidak menggunanya untuk memotong maka ia akan memotong kamu". Demikian juga firman Allah dalam surah al asr yang bermaksud : Demi masa sesungguhnya manusia di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal solih... Betapa pentingnya masa dan sering di tekankan oleh Allah tentang masa. Bila saat begini baru kita mula menghitung masa. Apakah perkara yang manfaat yang telah aku lalui sepanjang tahun yang mengandungi 12 bulan itu? Berapa banyak aset yang dapat dikumpul? kalau aset dalam bentuk material (duniawi) senang di hitung. Aset dalam bentuk amal, jariah yang sangat subjektif untuk dinilai dan diukur... Mudah-mudahan ada juga aset ukhrawi yang dinilai oleh Allah dari aku hambanya ini..amin.
Beberapa hari lagi 2010 datang lagi. Kita sibuk menyiapkan perancang 2010. Adakah di muhasabah perkara yang berlaku sepanjang 2009? Mudah-mudahan 2010 lebih baik dari 2009. Itulah harapan.. sekian wallahu waalam.

Monday, December 7, 2009

Kursus Guru Besar SAR KAFA 2009

Sektor Pendidikan Islam, Unit IPA. JPN Pahang, telah mengadakan Kursus Kewangan dan Pentadbiran Guru Besar, yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia Temerloh pada 6 hingga 8 Disember 2009. Seramai 60 peserta dari daerah Temerloh, Maran, Chenor dan Bera telah menghadiri kursus tersebut. Sebanyak empat kertas kerja telah dibentangkan semasa kursus. Kertas kerja pertama iaitu bertajuk Pengurusan Pentadbiran yang telah disampaikan oleh En Abdul Jamil bin Mohd Salleh, Pegawai Eksekutif Tinggi Unit Perkhidmatan JPN Pahang, manakala kertas kerja kedua pula mengenai Pengurusan Kewangan Sekolah yang telah disampaikan oleh Pn Norfizah binti Badrin Ketua Pembantu Tadbir Unit Pembangunan JPN Pahang, Begitu juga En Zaharudin bin Zakaria dari JAIP Pekan, telah menyampaikan kertas kerjanya bertajuk Pengurusan SAR KAFA, kertas kerja keempat telah disampaikan oleh saya sendiri bertajuk Memperkasa SAR KAFA Negeri Pahang bagi guru besar-guru besar SAR KAFA Negeri Pahang. Hari pertama ucap utama telah disampaikan oleh Tuan Hj Mohamed bin Awang Nit, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, JPN Pahang dan pada majlis penutup akan dirasmikan oleh Tuan Hj Ahmad Hamizi bin Abu Hasan Ketua Unit Operasi Dakwah Sektor Pendidikan Pahang JPN Pahang. Menurut Pengurus Projek kursus tersebut En Rofai bin Mokhtar Unit IPA SPI JPN Pahang dan juga En Naawi bin Samah Unit Operasi Dakwah dan Noorasidah binti Said Pegawai Tadbir N41 urusetia. Syabas......dan tahniah.

Sunday, November 29, 2009

Sembang Pendidikan ... part 4

Mamahami Kepimpinan
Biasanya orang percaya ciri-ciri kepimpinan adalah sesuatu yang stabil, iaitu tidak berubah-ubah, dalam erti kata semua pemimpin, baik para pemimpin pada zaman dahulu mahu pun pemimpin zaman sekarang, semuanya mempunyai ciri peribadi yang serupa. Begitu juga, tanpa mengira bangsa dan negara, semua pemimpin mempunyai ciri yang sama juga, malah ciri-ciri mereka juga serupa sahaja baik dalam bidang apa meraka itu menjadi peminpin. Adakah ini benar? Sekiranya benar, apakah ciri-ciri itu? Betulkah para pemimpin mempunyai ciri-ciri peribadi yang menyebabkan mereka itu tidak serupa dengan individu-individu biasa? Kajian-kajian pakar cuma menjumpai dua jenis ciri yang nampaknya konsisten ada pada para pemimpin. Pertama, tubuh badan para pemimpin adalah lebih tinggi sedikit daripada purata tubuh badan para pengikut mereka. Kedua, mereka mempunyai kepintaran yang lebih tinggi sedikit daripada kebanyakan individu yang mereka pimpin. Kajian-kajian terbaru mendapati ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat aspek-aspek yang berbeza di antara ciri-ciri pemimpin dan mereka yang dipimpin... menurut Ainon Mohd dalam bukunya Teori & Teknik Kepimpinan Panduan Aplikasi Di Tempat Kerja.

Thursday, November 26, 2009

Aidiladha.. Raya Korban... Raya Haji

Aidiladha atau Hari Raya Korban yang akan disambut esok 27 November 2009 bersamaan Jumaat, menjadi antara hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijjah mengikut takwim Hijrah. Ia juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada saat itu , jutaan umat Islam yang datang dari seluruh pelosok dunia berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan bagi umat Islam yang cukup syarat dan berkuasa atau berkemampuan untuk menuju ke sana menunai haji. Sebagai menyahut seruan Allah dalam firmanNya yang bermaksud " Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah" .. al Baqarah ayat 196. Selepas solat Aidiladha, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim as mengorbankan anak baginda, Nabi Ismail as demi kepatuhan dan ketaatan terhadap perintah Allah. Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muaakad (yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang mampu, dan wajib bagi orang yang bernazar. Allah mensyariatkan waktu untuk menyembelih melakukan ibadah korban ialah selepas naik matahari pada hari raya korban kira-kira selepas kadar cukup masa untuk sembahyang dua rakaat dan dua khutbah. Ia berakhir apabila terbenam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah... Semoga peristiwa korban mengajar kita taat beriman kepada perintah Allah, menimbulkan rasa kesyukuran atas nikmat Allah dan berserah kepadaNya.

Tuesday, November 24, 2009

PEKDIS.... di Hotel Concorde Inn KLIA Sepang

Hari ini telah mencatat sejarah aku datang sekali lagi ke daerah Sepang KLIA ini jalan menuju ke Lapangan Terbang KLIA Sepang, setelah lama tidak berkunjung pada kali pertama tahun 2003 kerana menghadiri kursus khas GPI peringkat kebangsaan.. sebagai fesi kebangsaan kursus khas. Tapi pada kali ini hadir kerana Mesyuarat Tahunan Perwakilan Majlis Kegiatan Dakwah Islamiah yang dipanggil (PEKDIS) Sekolah-Sekolah Malaysia kali ke lima 2009. Setiap negeri dikehendaki menghantar seramai sepuluh orang perwakilan. Aku setelah zohor bertolak dari rumah dan singgah sebentar di gerai makan di tepi jalan sebelum sampai tol Gombak dan mengeteh secawan, kebetulan bertemu pula dengan beberapa orang perwakilan Pahang sama-sama singgah dan mereka singgah makan dan menunaikan solat zohor. Setelah sejam lebih kurang menunggu Tn Hj Ishak Mat Bakar PPD Temerloh pun sampai yang kebetulan hujan lebat. Apabila hujan mula reda kami dengan tiga buah kereta pun meneruskan perjalanan, jauh juga rupanya..lupa dah jalan.. nasib baik juga ada member kalau tidak.. dapat buah langsat lagilah, jam 5.00 petang lebih kami pun sampai di Hotel Concorde Inn KLIA Sepang, hotel yang dikelilingi dengan pokok kelapa sawit cantik...aku macam biasa sebilik dengan haji Sohok.. esok mesyuarat dijangka selesai pada jam 12.30 tengahari..

Saturday, November 21, 2009

Murid Tahun 6 Khatam Al Quran...Sekolah Pahang

Program j-QAF Kementerian Pelajaran Malaysia, melalui Bahagian Pendidikan Islam.. berhasrat untuk melahirkan murid bermula dari sekolah rendah khatam al-Quran setelah tamat tahun 6. Ianya mencakupi Bahasa Arab yang diwajibkan, asas-asas fardu ain dihayati dan jawi diperkukuhkan. Program ini juga merupakan usaha untuk memperkasakan pelaksanaan Pendidikan Islam di sekolah rendah. Ianya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2005 sehingga program j-QAF ini terlaksana sepenuhnya pada tahun 2010. Baru-baru ini sebelum cuti persekolahan bermula adalah difahamkan seluruh daerah negeri Pahang, melalui Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing telah mengadakan majlis khatam al-Quran bagi murid tahun enam yang telah khatam al-Quran sepenuhnya. Menurut Tn Hj Ishak bin Mat Bakar Penyelia Kanan Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh seramai 400 orang murid yang melibatkan 50 buah sekolah rendah mengambil bahagian pada Majlis Khatam al-Quran yang diadakan di Masjid Abu Bakar Temerloh Khamis lalu. Manakala Che Hamid Safii wakil Pegawai Pelajaran Daerah Bera pula berkata seramai 197 orang murid tahun enam dari 22 buah sekolah daerah ini juga telah diraikan pada majlis seumpama itu. Difahamkan Sektor Pendidikan Islam, Unit Operasi Dakwah juga akan terus memberi kerjasama serta galakan berterusan lagi menyeluruh dari segi pegurusan penyelarasan di daerah dan juga sedikit peruntukan pembiayaan bagi tujuan menjayakan program tersebut secara holistik. Rata-rata guru yang hadir pada majlis tersebut, menyatakan program ini sangat baik malah ia patut dijadikan amalan untuk kecemerlangan murid dalam menghayati kelebihan al-Quran sebagai mukjizat dan sebagai pegangan hidup umat Islam. Kerjasama semua pihak terutama ibubapa adalah diharapkan. Syabas tahniah kepada semua Guru Besar..

Wednesday, November 18, 2009

SPM Bermula Hari Ini.. Rafiuddin Izzat

Syukur Alhamdulillah..., Peperiksaan SPM bermulalah hari ini. Mata pelajaran Bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah. Segala usaha dan kesungguhan pelajar belajar selama dua tahun persediaan SPM telah dilakukan. Guru-guru telah sedaya upaya mengajar dan membimbing dengan mengadakan bermacam-macam aktiviti kecemerlangan dan motivasi untuk memastikan pelajar mereka mendapat kejayaan yang terbaik dalam SPM. Para pelajar juga sudah tentunya telah mengambil kesempatan dan telah belajar dengan baik, semoga segala usaha selama ini tidak akan menjadi sia-sia. Ibubapa, Guru, PIBG, PPD dan Jabatan Pelajaran turut bersama mengharapkan kejayaan buat pelajar semua. Pesan kepada anakku mulakan untuk menjawab peperiksaan dengan membaca kalimah Basmalah, kalimah yang mulia, doa dan berserah kepada Allah ... insyaallah. Rafiuddin Izzat anak bongsu aku seperti biasa pagi-pagi setelah sembahyang subuh terus dengan motorsikal abangnya membeli nasi lemak kesukaan untuk minum pagi. Risau tu ada juga sebab beliau selalu sakit perut semasa belajar.. hanya berserah kepada ketentuan Ilahi. Setelah bersalam cium dengan keredhaan ibubapa .. moga-moga keselamatan anakku di dalam penjagaanMu jua... terus berjalan kaki menuju ke sekolah yang tidak jauh dari rumah dan aku juga ingin mengambil kesempatan di sini mendoakan agar kesihatan YH Dato' Hj Abdul Aziz bin Hj Abdul Latif, Pengarah Pelajaran Pahang kesayangan, cepat sembuh dan bertambah baik dan bertugas seperti biasa setelah dimasukkan ke Hospital Kuantan dua hari yang lepas.

Sunday, November 8, 2009

Atan Lebak .....dah Kahwin!

Syukur Alhamdulillah.... dalam keluarga sembilan adik beradik, enam lelaki dan tiga perempuan semua kelahiran kampung Lebak Seberang. Pernah juga keluarga aku pada tahun awal 70'n tinggal di kampung Pantai Chenor Seberang, Chenor dan bersekolah di sana. Ayahanda memang keluarganya orang sana. Setelah berpindah ke Temerloh di kampung Lebak Seberang kerana emak orang lebak maka sehingga sekarang kalau hujung minggu atau masa cuti sekolah semua akan belik ke Lebak. Dalam keluarga yang besar ini semuanya telah berkeluarga dan mempunyai anak dan akulah anak yang tua dan anak aku tiga telah bekerja dan seorang masih bersekolah di tingkatan lima di Bentong . Pasal Atan ini.... adik yang bongsu kahwin dan ianya anak lelaki ke empat yang payah nak kawin sehingga terlajak umur 38 tahun..(isterinya 20 tahun), bukan tidak ada yang mahu tapi memilih. Dalam keluarga dah macam-macam nasihat dan bertoseh suruh kahwin tapi tak nak semata.. biar dulu..nanti dulu.. tapi pada tahun lepas tahun 2008 semasa nak raya puasa keluar sepatah... koi rasa nak kahwinlah boleh? .. awak tan biar betul .. kata dek abang Da..nya. Setelah bertunang setahun maka pada hari semalam 7 November 2009 bersamaan hari Sabtu tepat jam 12.30 tgh, bertempat di rumah pak mentuanya Sudin Siah di kampung Lebak Seberang, telah berlangsunglah majlis ijab dan kabulnya. Dalam keluarga Mohd Yunus ini empat orang anaknya dapat jodoh dan berkahwin saudara maranya sekampung. Berarak kehulu dan berarak kehilir... mudah je, terutama raya-raya pasti ada balik kampung semua. Lepas sahaja majlis selesai sempat juga berpesan pada Atan adik jantan sekor ini... jaga anak orang tu elok-elok.. dan tahniah dapat bini cantik. Jadinya ayahanda barcadang dan menjemut semua sanak saudara di Lebak dan di Chenor atau di mana pun hadir dan rakan sahabat semua, ke majlis menyambut menantu di rumah ayahanda kami di kampung Lebak Seberang pada Ahad ini bersamaan 15 November 2009 bermula jam 11.30 tengahari hingga 3.00 petang.... kesah Atan @ nama betulnya Nazeri.. semoga bahagia selamanya..amin