Monday, September 21, 2009

Beraya di Lebak Seberang

Hari raya datang lagi. Bagi aku seperti biasa kesempurna puasa aku dan keluarga sebulan bulan ramadan telah tertunai sudah, sebagai kewajiban tuntutan agama. Selepas sahaja solat hari raya di Masjid Ketari, Bentong (Sejak dahulu lagi dimana aku duduk di pagi raya mesti bersolat raya dahulu di masjid di tempat aku duduk) aku sekeluarga pun bertolak pulang dan lebih kurang jam 11.00 pagi tiba di kampung, 45 minit dari Bentong. Di rumah ayah di kampung adik-adik telah pun berkumpul dan ada yang tidur beradu semalaman, yang balik awal pada petang raya dan membakar lemang. Suasana meriah anak beranak menjamu selera kuih muih, lemang rendang dan ketupat nasi impit... seperti biasalah dalam jumlah lebih kurang lima puluh orang ahli keluarga, sudah tentu suasana riuh rendah bagai gegak gempita berlaku. Bayangkan sembilan adik beradik masing-masing dah mempunyai anak, yang bercucu hanyalah aku. Syukur keluarga besar berkumpul di hariraya masih meriah, yang paling lega tersenyum ialah ayahanda kesayangan. Selepas solat zohor kami ke kubur yang tidak jauh dari rumah, membaca yasin dan bertahlil. Lepas maghrib aku pun balik Bentong. Binatang peliharaan anak lelaki aku yang tingkatan lima seperti kucing, kura-kura dan beruk peliharaan anak-anak aku sedang menuggu pulang - kelaparan.

Friday, September 18, 2009

Ketua Sektor.. dan semua di SPI, JPNP

Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya maaf zahir batin, semoga tuan sekeluarga beroleh ceria dan bahagia di hari raya. Tak balik Teluk Iira ke tuan? saya raya pertama lepas solat raya terus balik Lebak Seberang dan malam raya di Bentong pula. Kepada pegawai dan semua warga SPI, saya sekeluarga juga dengan rasa rendah diri, sepuluh jari mengucapkan selamat raya maaf zahir batin. Salah silap harap dimaafi. Semoga semua diberi keberkatan dan keampunan.

Tuesday, September 8, 2009

Dari Jelu ke Putra Jaya... Pekan Minggu Raub

Pekan Minggu Raub atau di panggil juga pekan sari (Pekan Sehari) diadakan pada hujung minggu setiap hari Ahad. Ianya terletak di hadapan Rumah Rehat Bandar Raub, cukup selesa kerana tapak pekan sari tersebut bersih, tersusun elok, mudah untuk bergerak ke satu baris ke satu baris yang lain bagi mendapatkan barangan yang hendak dibeli. Saya macam biasalah pada pagi Ahad lalu bersama mem besau pergi ke Pekan Sari Raub untuk mencari makanan kampung kesukaan. Perjalanan sejauh lebih kurang 20 minit dari bandar Bentong . Di Pekan Sari Raub yang bagaikan temasya jualan hasil kampung itu, banyak sekali menjual hasil-hasil kampung yang dibawa oleh penduduk sekitar bandar Raub mahu pun yang jauh tinggal di kampung. Meraka berpagi-pagi lagi tiba lantas membuka ruang dan meletakkan barang yang hendak dijual. Setelah satu pusingan berlalu dan telah dapat satu dua barang yang dibeli, pergerakan kami tidak lagi terhenti di situ. Kami terus menapak mencari sayur-sayur seperti pucuk maman, rebung jeruk, batang keladi (orang lelaki jangan selalu sangat makan masalah kesihatan.. kata orang), sedikit daging /tulang, ikan, (ikan kelah RM60.00 sekilo .. oklah tu) , buah salak dan macam-macam lagi. Kalau diikutkan semua hendak dibeli. Apabila sampai ke satu makcik tu dia sebuk bercerita yang dia ni datang jauh dari Jelu, "susah nak datang kenderaan awam tidak ada, naik kereta sapu aje, gemana mok cik nak bawak barang yang banyak gini. Jarak ke bandar Raub ini lebih empat kilometer". Setelah membayar harga lada kami pun berlalu, tidak lama kemudian dalam memerhati apa lagi yang berkenan di hati, kami terserempak dengan seorang pegawai yang bertugas di Putra Jaya bersama isterinya yang datang jauh, sedang membeli telur ayam kampung kesukaannya dua sarang. Setelah bertanya khabar kami pun beredar. Begitulah sedikit cerita mengenai suasana di Pekan Sari Raub yang sentiasa dikunjungi ramai orang, baik yang dekat mahu pun yang jauh..

Monday, September 7, 2009

HIKMAH MAKANAN DALAM ISLAM

1. Roti (khubz) Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila memakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau. hormatilah roti itu memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".
2. Jintan Manis (anisun) Jintan manis banyak khasiatnya ianya melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu disekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.
3. Epal (tuffah) Epal yang masam lebih sejuk daripada yang manis. Ianya juga boleh menguatkan organ hati.
4. Asparagus (hiyawn) Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.
5. Pisang (mawz) Pisang boleh menyejukkan badan dan ianya boleh dimakan dengan madu lebah.
6. Barli (sya'ir) Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah s.a.w. pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.
7. Selasih (manis rayhan) Selasih berkhasiat untuk menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.
8. Mentega (zubdah) Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega yang dicampurkan dengan kurma dan madu sejenis makanan yang menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.
9. Bunga kubis (qunnabit) Sayuran ini sukar dihadam dan bahaya untuk penglihatan.
10. Chamomile (babunaj) Kegunaan chamomile ialah melancarkan aliran haid dan kencing! . Ianya juga sangat berguna untuk memanaskan badan.
11. Lobak merah Kegunaannya memanaskan badan. Ianya juga melancarkan aliran haid dan air kencing.
12. Biji kopi (qahwah) Sebagai ubat penyakit buang air besar berdarah, menghilangkan dahaga dan dikatakan menimbulkan kebijaksanaan.
13. Biji hitam (habb al sauda) Dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habb al sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah habb al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.
14. Ayam (dajaj) Memudahkan penghadaman. membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam kampung betina yang belum bertelur.
15. Kulit kayu manis (darchini) Kulit kayu manis juga merupakan pemanas badan. Minyaknya sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia merupakan campuran (rempah ratus) yang digunakan dalam resepi masakan hampir tiga suku penduduk dunia.
16. Limau Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid (utrujj) Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, "Limau ini adalah seperti mukmin: bagus dirasa dan bagus dihidu". Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.
17. Timun (qitta') Yang masak menghilangkan panas dan menggalakkan pembuangan air kecil. Makan kurma dengan timun muda menambahkan berat badan.
18. Jintan putih (kammun) Jintan putih khasiatnya untuk memanaskan badan. Jintan putih yang direndam di dalam air dan diminum adalah baik untuk mengubat perut yang memulas.
19. Tamar kering (tamr) Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yang tiada bermakanan". Nabi s.a.w. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini.
20. Terung (badhijan) Terung hitam menyebabkan keluarnya hempedu. Kecenderungan benda ini mengeluarkan hempedu dapat dibetulkan dengan memakannya bersama daging.
21. Telur (baydah) Khasiat telur yang paling baik boleh kita dapati daripada telur ayam (setengah masak atau separuh masak) bukan direbus keras. Putih telur melegakan apabila kita melecur atau kulit terbakar dan menghilangkan parut pada kulit.

Friday, September 4, 2009

...Siri akhir.... "Rahsia Kurma" Selain enak, kurma juga mengandugi ubat.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah Al Mukminun ayat 19 (juzu' 18) "Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (korma) dan anggur. Kemu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai-bagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu." Diriwayat oleh Aishah r.a yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat ."Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan". Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah pohon kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam mengegar pohon korma lantas memakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi Isa a.s. Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu penawar penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin. Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim. Memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikannya makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa penyakit.